Tuesday, 31 July 2012

LAWAK DUSUN: SMS


Ada seorang pemuda berpeluang melanjutkan pelajaran ke Amerika. Inilah pertama kali dia ke luar negara dan sudah tentu begitu teruja dan berasa bangga kerana akhirnya seorang anak dusun berjaya menjejakkan kaki ke menara gading di negara orang.

Pada suatu hari, ketika dia sedang mengulangkaji pelajaran bersama kawan-kawannya, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

"Hello," kata suara sayup-sayup di hujung sana. Lalu dia menjawab, "Hello, who is this?" "Yoho boh ti, tina nu. Okuro-kuro ko noh?" Suara ibunya yang cukup ceria melepaskan rasa rindu di hati. Pemuda itu memandang ke kiri dan ke kanan, semua rakannya memandang dia. Lalu dia berkata, "Yes mummy, I'm fine.  but, bla...bla...bla..." "Nunu toi gia komoyon nu noh?" jawab ibunya. Tetapi pemuda itu terus saja bercakap 'orang putih'. Kerana jengkel, si ibu memutuskan talian. 

Si ibu tunduk sedih memikirkan anaknya yang sudah tidak pandai berbahasa Dusun (atau pura-pura tidak pandai!). Tiba-tiba telefon si ibu berbunyi, sms masuk. Si ibu membuka sms, rupa-rupanya daripada anaknya. Sms itu berbunyi:

NO CURE ROW TWO OWE CORE KARATE DEITY BORROWS CUE?


___________________________________________________________________

Pengajaran: Jangan Malu Bercakap Dusun! Hargai Bangsa dan Bahasa Sendiri.


Bayu Kinabalu Bertiup Kencang

Minggu lepas menyaksikan dua wakil rakyat (MP) meninggalkan parti masing-masing dan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kehadiran di kedua-dua majlis yang berasingan itu agak memberangsangkan menunjukkan rakyat Sabah sangat dahagakan perubahan. Setiap kata-kata yang diucapkan oleh pemimpin disambut dengan sorakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada para hadirin. Masing-masing wakil rakyat menunjukkan ketokohan dalam berpidato mempertahankan tindakan yang mereka ambil. 

Di Tuaran, DSP Wilfred Bumburing banyak memperkatakan masalah PTI dan sikap kerajaan BN yang tidak prihatin dan berdolak dali. Manakala di Beaufort DSP Lajim Ukin memperkatakan tentang kegagalan kerajaan BN mentadbir dan memajukan Sabah dari segi infrastruktur. Saya tabik keberanian mereka setakat ini. Namun keikhlasan kedua-dua MP ini dalam memperjuangkan hak-hak Sabah hanya akan terbukti melalui komitmen jangka panjang. Masih ramai orang yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Malah ada pihak yang mencadangkan supaya kedua-dua MP ini di'rehat'kan dalam pilihan raya ke-13, untuk mengelak berlakunya fenomena 'Trojan Horse'.

Dalam sekelip mata kedua-dua MP ini telah menjadi hero rakyat Sabah. Bahkan ada bloggers yang menyanjung tinggi pengorbanan mereka menggadaikan maruah dan kedudukan serta jawatan dalam kerajaan. Mereka dengan lantang memperjuangkan seakan-akan 'Agenda Borneo' yang diperjuangkan oleh Dr. Jeffrey. Bezanya, mereka begitu mudah mendapat sokongan ramai. Sedangkan Dr. Jeffrey yang telah berjuang berpuluh tahun (bahkan pernah masuk ISA kerana perjuangan tersebut), harus bekerja keras meyakinkan rakyat. Itu pun beliau tidak pernah mendapat gelaran hero rakyat Sabah, malah beliau digelar 'Raja Katak'.


Tetapi yang mencuri perhatian saya ialah sikap hormat dan penerimaan yang tidak berbelah bahagi kedua-dua MP berkenaan serta penyokong masing-masing terhadap DS Anwar Ibrahim. DSAI dianggap sebagai satu-satunya harapan yang akan membawa perubahan untuk Sabah. DSAI seperti biasa menunjukkan ketokohannya berpidato. Memang sejak dulu saya kagum dengan cara DSAI berpidato. Pada saya beliau seorang pemidato yang ulung.

Dalam ucapan DSAI di Beaufort, saya tergamam seketika apabila beliau mengakui bahawa beliau adalah salah seorang yang bertanggungjawap terhadap berlakunya sistem penggiliran Ketua Menteri di Sabah. Sejak dahulu, saya secara pribadi tidak bersetuju sama sekali dengan sistem tersebut. Sistem tersebut telah menjatuhkan maruah orang Sabah (walaupun mungkin ada segelintir pemimpin politik masih menginginkan sistem tersebut diteruskan). Namun, pengakuan tersebut telah menyejukkan (?) hati rakyat Sabah (khususnya yang hadir pada majlis tersebut). Pengakuan itu disambut dengan gelak ketawa, seolah-olah perkara itu sudah tidak relevan lagi. Pada saya, sambutan dan sorakan hadirin pada majlis berkenaan seolah-olah memberi indikasi bahawa rakyat Sabah sudah memaafkan DSAI. 


Rakyat Sabah dapat memaafkan DSAI yang bertanggungjawap ke atas keruntuhan pemerintahan PBS, tetapi rakyat Sabah tidak dapat memaafkan Dr. Jeffrey kerana meninggalkan PBS. Rakyat Sabah dapat memaafkan DSAI yang bertanggungjawap ke atas penggiliran Ketua Menteri Sabah, tetapi rakyat Sabah tidak dapat memaafkan Dr. Jeffrey kerana masuk dari satu parti ke parti yang lain. Jika rakyat Sabah boleh memberi peluang kedua kepada DSAI untuk memimpin, tidakkah wajar Dr. Jeffrey juga diberi peluang yang sama untuk memimpin? Saya tertanya-tanya apakah yang membezakan kedua-dua pemimpin tersebut. Apakah faktor penentu penerimaan orang terhadap seseorang? Adakah kerana DSAI lebih unggul daripada Dr. Jeffrey? Atau kerana DSAI orang Malaya sedangkan Dr. Jeffrey orang Sabah? Atau DSAI lebih 'bersih' daripada Dr. Jeffrey?

DSAI dalam ucapannya di Tuaran, mengatakan bahawa Sabah harus dipimpin oleh orang Sabah kerana hanya orang Sabah yang tahu kehendak orang Sabah. Saya setuju, tetapi siapa di kalangan pemimpin Sabah yang layak memimpin Sabah? Siapa pemimpin Sabah yang dapat memimpin Sabah supaya terlepas daripada telunjuk Kuala Lumpur? Siapa pemimpin Sabah yang dapat mengembalikan hak-hak Sabah? Siapa pemimpin Sabah yang dapat menuntut supaya 20 perkara seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia dihormati oleh Kerajaan Persekutuan?  Selagi Sabah di bawah telunjuk Kuala Lumpur, selagi Sabah menjadi negeri ke-13 dalam Malaysia, selagi itulah Sabah tetap sama seperti yang dulu! Siapa pun yang berkuasa sama ada BN atau PR, kita tetap menari mengikut irama Malaya. Sampai bila kita harus menari mengikut rentak mereka? Kita orang Sabah, harus menari menurut irama Sabah. Sabah tidak pernah 'masuk' Malaysia. Sabah bersama-sama dengan Malaya dan Sarawak (serta Singapura: tetapi keluar dari Malaysia selepas itu) membentuk Negara Malaysia.

Pada saya, Sabah hanya akan melihat fajar harapan sekiranya rakyat Sabah bersatu di bawah satu panji sebagai suatu bangsa yang bermaruah, berdiri bersama-sama menuntut hak-hak negeri ini yang telah sekian lama diinjak orang. Pemimpin Sabah tidak harus tunduk di bawah kepemimpinan Malaya. Pemimpin Malaya, pemimpin Sabah dan pemimpin Sarawak harus bersama-sama memimpin Negara Malaysia. Pemimpin Sabah harus duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemimpin Malaya dan Sarawak. Jika tidak, Sabah akan tetap menjadi negeri ke-13 dalam Malaysia!

INI KALILAH!




Wednesday, 11 July 2012

Cerita Rakyat Sabah: Cerita Tiga Raja

Pada zaman dahulu kala, ada tiga orang raja memerintah di tiga buah negara berasingan. Negara yang pertama terletak di utara, di panggil Negara Utara, negara kedua terletak di selatan, dipanggil Negara Selatan, manakala negara ketiga terletak di barat, dipanggil Negara Barat. Ketiga-tiga negara itu hidup dengan harmoni dan saling menolong antara satu dengan yang lain. Pada suatu ketika, Negara Utara dan Negara Selatan mengalami kebuluran kerana kemarau yang panjang. Negara Barat pula masih dapat bertahan kerana mempunyai simpanan makanan yang banyak. Memandangkan kemarau berterusan, maka semua simpanan beras di Negara Utara dan Negara Selatan habis sehingga benih-benih padi pun habis dimakan. Tanah sawah kering kontang. Raja Negara Utara (Raja Utara) dan raja Negara Selatan (Raja Selatan) terpaksa meminta pertolongan raja Negara Barat (Raja Barat). 

Maka dipendekkan cerita, kedua-dua raja tersebut berangkat menghadap Raja Barat. Setelah Raja Barat mengetahui Raja Utara dan Raja Selatan datang menghadap untuk meminta pertolongan, maka Raja Barat mula berfikir, "Alangkah baiknya kalau kedua-dua negara itu menjadi milik beta," kata Raja Barat dalam hati.  Maka, Raja Barat bertanya kepada kedua-dua raja tersebut, "Apakah tujuan adinda berdua datang menghadap kanda?" Jawap kedua-dua raja itu, "Negara kami mengalami kebuluran, oleh itu adinda berdua datang untuk meminta pertolongan kanda."

"Baiklah," kata Raja Barat. "Kalau demikian, kanda dengan berbesar hati membantu negara adinda berdua. Mulai sekarang, Negara Utara dan Negara Selatan tidak perlu bekerja lagi. Negara Barat akan menyediakan 100,000 guni beras setahun untuk setiap negara sehinggalah bencana ini berakhir." Kedua-dua raja Utara dan Selatan begitu gembira atas kemurahan Raja Barat. "Oleh sebab tanah-tanah sawah di negara adinda berdua tidak lagi berguna, maka berikan saja tanah-tanah itu kepada kanda. Biarlah kanda menanggung rugi. Sebagai ganti, kanda akan menambah 50,000 guni beras setahun kepada negara adinda berdua sampai bila-bila." Raja Utara melompat gembira. "Tuanku Raja memang baik, Tuanku Raja memang bijaksana!" Raja Utara sudah tidak sabar-sabar lagi menyampaikan berita baik ini kepada rakyat jelata. 

Raja Utara mula menghitung-hitung, "100,000 guni beras lebih dari cukup untuk seluruh Negara Utara setiap tahun. Jadi, Negara Utara masih mempunyai simpanan beras 50,000 guni. Rakyat jelata Negara Utara tidak perlu bekerja lagi." Tetapi Raja Selatan tertunduk sedih tanpa berkata apa-apa.

Lalu kata Raja Barat, "Bagaimana keputusan adinda berdua?" Raja Utara lantas menjawap, "Saya setuju!"  Lalu Raja Barat memberikan 150,000 guni beras kepada Raja Utara. Kegembiraan Raja Utara tidak terkata. Lalu Raja Barat memandang Raja Selatan, "Bagaimana dengan adinda?" Raja Selatan memandang tepat ke arah  Raja Barat. 

Dengan suara sayu Raja Selatan berkata, "Kanda Raja Barat, biarlah tanah-tanah sawah yang tidak berguna itu kami simpan. Lagipun, jika diberikan kepada kanda pun tanah-tanah itu tetap tidak berguna kepada kanda. Dinda hanya memohon bantuan 50,000 guni beras setahun untuk rakyat jelata Negara Selatan, dan biarlah 50,000 guni lagi dalam bentuk benih padi yang diberi sekali sahaja." Raja Barat terkejut mendengar jawapan Raja Selatan. Raja Utara pula tersengih mendengar kata-kata Raja Selatan. "Bodoh betul Raja Selatan," katanya dalam hati. 

Dipendekkan cerita, Raja Barat berbuat seperti yang diminta oleh kedua-dua raja tersebut. Raja Utara membawa pulang 150,000 guni beras manakala Raja Selatan membawa pulang 50,000 guni beras dan 50,000 guni benih padi. Maka, Negara Utara menerima bantuan beras 150,000 guni beras setahun sehinggalah kemarau itu berakhir, manakala Negara Selatan menerima hanya 50,000 guni beras setahun. Rakyat jelata Negara Utara sehat-sehat belaka kerana cukup makan, manakala rakyat jelata Negara Selatan kurus kering kerana hanya dapat makan sekali sehari.  

Setelah sekian lama, maka musim kemarau pun berlalu. Bantuan beras oleh Raja Barat pun diberhentikan. Tetapi memandangkan Raja Utara besetuju menukarkan tanah-tanah sawah dengan beras 50,000 guni setahun maka, Negara Utara tetap menerima 50,000 guni beras daripada Raja Barat. Manakala, Negara Selatan sudah tidak menerima apa-apa lagi bantuan. Tetapi Negara Selatan masih mempunyai 50,000 guni benih padi, lalu mereka mula mengerjakan sawah. Tanaman mereka begitu subur sehingga mereka dapat menuai 200,000 guni semusim. Akhirnya, Negara Selatan menjadi makmur dan sejahtera.

Lain pula ceritanya di Negara Utara. Oleh sebab mereka hanya mendapat 50,000 guni beras setahun dari Raja Barat (beras simpanan pula sudah habis digunakan), maka rakyat jelata di negara tersebut menjadi kurus kering kerana terpaksa makan hanya sekali sehari. Mereka sudah kehilangan hak pemilikan ke atas sawah-sawah mereka, mereka tidak lagi dapat bercucuk tanam. Jadi kekallah Negara Utara menjadi negara termiskin di rantau itu. Ramai rakyatnya berhijrah ke Negara Selatan dan Barat untuk mencari nafkah.

Moral cerita ini ialah: Buatlah keputusan yang bijak untuk masa depan.

Unity Is Duty

Monday, 9 July 2012

Politik: Suatu Perniagaan


Dalam bukunya yang bertajuk 'Keberanian Menggapai Harapan' (The Audacity of Hope (2006)), Barack Obama ada menyentuh tentang pertembungan nilai yang dihadapi oleh ahli-ahli politik (khususnya ahli-ahli politik muda) yang ingin menguasai kerusi Dewan Senat Amerika. Di satu pihak, kemenangan dalam pilihan raya menjanjikan habuan dan peluang yang besar dalam penguasaan ekonomi. Pihak-pihak yang berkepentingan menjadikan ahli-ahli politik sebagai proksi mereka dalam kerajaan untuk memenuhi hasrat dan mencapai sasaran mereka dalam perniagaan. Bahkan sering kali digunakan sebagai senjata untuk mengalahkan pesaing. Ahli-ahli politik pula tidak dapat menolak kerana golongan ini menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi (KDNK) negara. Di pihak lain, masyarakat umum yang berjuang untuk mencari nafkah sehari-hari, mengharapkan perwakilan yang dipilih dapat melaksanakan misi menangani masalah rakyat, memperbaiki sistem penyampaian, dan menggubal dasar-dasar yang dapat memberi kesaksamaan kepada semua golongan masyarakat. Mereka mengharapkan ahli-ahli politik dapat menangani ketidakpuasan hati golongan tertentu, dan mengetengahkan gagasan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

Apabila politik dicemari oleh ketamakan, maka terjadilah satu lingkaran jahat, di mana parti-parti politik bersaing untuk memperolehi majoriti dalam pilihan raya semata-mata untuk mendapatkan peluang menguasai ekonomi dan jentera kerajaan dalam hal menggubal undang-undang dan membuat keputusan yang berpihak kepada mereka. Ahli-ahli politik melalui proksi-proksinya cuba memaksimakan pemilikan hartanah dan meluaskan penguasaan ekonomi dalam bidang-bidang tertentu. Dengan kedudukan mereka sebagai pembuat dasar dan dengan jaringan kenalan yang lebih luas, sudah tentu dapat memberi kelebihan untuk mendapat 'bahagian' yang lebih baik. Peluang seperti ini tidak selalu ada, dan mungkin akan berakhir dalam masa tiga hingga lima tahun. Oleh itu, kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya tanpa memperdulikan risiko dan tanggapan umum. Ahli-ahli politik tidak selalunya bertindak sedemikian hanya untuk diri mereka sendiri. Adakalanya, mereka melakukan demikian untuk orang yang terdekat, untuk suatu kelompok kecil yang dapat memberi faedah secara langsung kepada mereka.

Hal ini tentunya menjengkelkan masyarakat. Ungkapan 'membela rakyat' hanya menjadi permainan kata-kata untuk mendapatkan sokongan, padahal jauh dalam hati mereka ingin merebut peluang untuk mendapat giliran mengaut keuntungan.  Seseorang ahli politik yang sering berubah prinsip perjuangan dan pendirian, jelas menunjukkan terdapat agenda pribadi yang tersembunyi. Keadaan ini menyebabkan pengundi-pengundi menjadi ragu apakah seseorang ahli politik itu sungguh-sungguh berjuang untuk rakyat. Namun semua ini akan terjawap melalui track record perjuangan sesebuah parti politik atau ahli politik. Parti politik dan wakil rakyat yang mempunyai track record yang buruk biasanya akan tersingkir dalam pilihan raya seterusnya (Ini tidak selalunya benar kerana kemenangan dalam pilihan raya bergantung  kepada banyak faktor termasuk strategi politik, usaha melobi dan penipuan dalam pilihanraya).

Kesan daripada tindakan ini menyebabkan pengundi-pengundi terasa teraniaya dan tertipu. Mereka menjadi sangsi dengan kemunculan parti-parti baru yang belum mempunyai track record.  Namun seseorang ahli politik yang sudah membuktikan diri dalam membela rakyat melalui perjuangan yang konsisten dan pengorbanan yang tidak mementingkan diri, biasanya mendapat perhatian dan sokongan rakyat. Masyarakat harus membezakan antara ahli politik yang selalu bertukar parti dengan ahli politik yang selalu bertukar prinsip perjuangan. Pada saya, seseorang boleh bertukar parti (sekiranya parti tersebut tidak mampu memikul perjuangan yang dibawa oleh seseorang ahli politik), tetapi prinsip perjuangan harus konsisten dan melampaui kepentingan diri.  Seseorang ahli politik yang mempunyai prinsip perjuangan yang kental harus disanjung. Aung San Suu Kyi dan Nelson Mandela telah membuktikan kepada dunia bahawa tiada batasan bagi seorang pejuang. Keselesaan dan kekayaan pribadi bukanlah tujuan akhir perjuangan mereka. Mereka berjuang untuk rakyat, mereka berjuang supaya rakyat mendapat keadilan dan kesaksamaan.  Mereka berjuang untuk perubahan. Kesetiaan kepada perjuangan, kejujuran dalam perjuangan, dan keikhlasan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat membawa harapan kepada masyarakat.

UNITY IS DUTY

'Tukar Baju?!!'


Beberapa minggu yang lalu, saya sempat bersama teman-teman mengunjungi beberapa tempat di Sabah. Ramai orang memperkatakan 'tukar baju'.  Mula-mula saya fikir, ini suatu gurauan. Tetapi, di mana-mana orang (khususnya orang tempatan) dengan penuh emosi tanpa berfikir panjang, dengan nada marah mengatakan "kita tukar baju kali ini".  Kadang-kadang saya tersengih mendengar pidato kedai kopi yang begitu berapi-api mengatakan "kita mesti tawan Putrajaya dulu barulah kita dapat mengurus negeri kita".  Saya cuba menduga apa yang sebenarnya membuat mereka begitu beria-ia untuk menukar kerajaan. Apakah yang membuat mereka begitu beria-ia mau menawan Putrajaya? Adakah mereka sudah bosan dengan kerajaan sekarang?  Atau semata-mata mereka hanyut dalam permainan politik semasa?  Lalu saya bertanya, apa masalah sebenarnya dengan kerajaan sekarang? Adakah kerajaan tidak baik?

Antara alasan mereka mau 'menukar baju' adalah kerana keadaan jalan raya yang tidak berturap khususnya di kampung-kampung, jalan-jalan utama tidak diselenggera dengan baik, walau pun berbilion ringgit telah diperuntukkan untuk memperbaiki infrastruktur di Sabah.  Selain itu, peluang pekerjaan di Sabah sangat terhad dan orang tempatan tidak diberi keutamaan untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.  Ada juga yang mengeluh tentang kenaikan harga barang, tetapi gaji minimun lebih rendah di Sabah berbanding di Semenanjung, masalah bekalan air, bekalan elektrik dan talian telefon serta kemudahan 'broadband' masih tidak dapat disediakan di kebanyakan tempat. Di samping itu, pembangunan di Sabah amat perlahan, taraf hidup orang-orang kampung hampir sama seperti 30 tahun yang lalu. Tanah-tanah orang asal dirampas oleh syarikat-syarikat gergasi.  Tanah-tanah orang kampung diambil oleh kerajaan atas nama pembangunan dan konservasi, tetapi akhirnya diberikan kepada pihak ketiga. Inilah realiti kehidupan masyarakat Sabah, khususnya mereka yang tidak berpeluang menikmati 'faedah' kepesatan pembangunan Sabah. (Tetapi yang anehnya, pandangan ini dikongsi oleh sebahagian besar masyarakat Sabah, bukan hanya segelintir orang!)
                                              Gambar hiasan

Golongan ini berpendapat bahawa, dengan menukar kerajaan daripada BN ke PR dapat menyelesaikan masalah ini.  Mereka seolah-olah yakin bahawa kerajaan PR nanti dapat menurap jalan-jalan kampung, menyelenggara jalan-jalan utama, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah, memberi keutamaan kepada orang tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, menurunkan harga barang, mengembalikan tanah-tanah yang telah di'rampas' dan sebagainya.

Lalu saya bertanya, dapatkah PR mengubah nasib kita? Adakah PR akan lebih baik daripada BN? Mereka tidak pasti. Ada yang menyampuk di hujung sana, "Sekurang-kurangnya kita menunjukkan kuasa rakyat!" Peserta 'ceramah kedai kopi' yang lain sepi membisu. Kesepian yang mencengkam kalbu. Kesepian yang menggambarkan masa depan Sabah yang suram. Jika generasi ini membisu, apa agaknya yang terjadi kepada generasi akan datang? Pada saya, lebih baik menangis daripada membisu. Mengharapkan orang lain mengubah nasib kita bererti menyerahkan nasib kita di tangan orang lain.

Pada saya, pembangunan infrastruktur, peningkatan ekonomi isi rumah dan kemajuan negeri ini tidak jauh lebih penting daripada maruah kita.  Kita harus mempertahankan maruah kita sebagai penduduk asal negeri ini sama seperti kita menginginkan pembangunan dan kemajuan.  Setiap orang yang mengaku sebagai orang Sabah harus bersama-sama mempertahankan maruah negeri ini. Kita kehilangan pemimpin ketika negeri ini masih muda.  Pemimpin kita ditipu orang, pemimpin kita diperbodohkan, pemimpin kita masuk 'poket' orang, hasil kita masuk 'poket' orang lain, duit kita diambil orang, negeri kita diratah, orang lain mengaut keuntungan dari hasil bumi kita yang kaya ini.  Adakah semua ini tidak diambilkira dalam percaturan politik? Atau tidak kesahkah kita jika pemimpin-pemimpin kita diperkotak-katikkan oleh pihak lain? Atau masihkah kita mempertahankan gelaran bahawa orang Sabah mudah dibeli, bahawa pemimpin-pemimpin Sabah gila kuasa dan gila wang?  Atau sudah cukupkah bagi kita asalkan kita mendapat projek atau sedikit 'habuan' maka kita kata, 'tidak apalah'? Jika demikian, kita berpolitik kerana 'perut'.  Perjuangan kita hanya sampai di perut. Di mana maruah kita?

Jangan hanya 'tukar baju', tetapi mari 'tukar dasar', 'tukar polisi', 'tukar cara pengagihan peruntukan yang tidak adil', 'tukar pemimpin yang korup', 'tukar pemimpin haloba', 'tukar pemimpin Pak Turut', barulah kita dapat berdiri sebagai bangsa yang bermaruah, barulah kita dapat menunjukkan 'Kuasa Rakyat'.  Mari 'tukar paradigma', tukar landskap politik di negeri ini.  Negeri ini dipegang oleh pelobi-pelobi politik yang menguasai sebahagian besar ekonomi Sabah. Pemimpin-pemimpin kita tidak dapat berbuat apa-apa, mereka tidak berdaya kerana tanpa pelobi-pelobi ini, pemimpin-pemimpin kita tidak kekal pada kedudukan mereka sekarang.  Kita tidak kesah untuk berkongsi kekayaan negeri ini dengan seluruh rakyat Malaysia, tetapi kita menuntut pembahagian peruntukan yang lebih layak dan adil berdasarkan keluasan dan jumlah pendapatan hasil bumi negeri ini. Bahkan, kita menuntut pendapatan hasil minyak negeri ini dibahagi sama rata antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Persekutuan. Kita tidak mau peruntukan yang dikhususkan untuk Sabah diratah oleh 'orang tengah'. Jika tidak demikian, jalan raya berturap tidak akan sampai ke tangga rumah kita.

Sabah dilaporkan sebagai negeri yang termiskin di Malaysia (Bank Dunia 2010).  Bagaimana mungkin negeri yang kaya-raya dengan sumber alam menjadi negeri yang termiskin di Malaysia?  Ini menunjukkan bahawa hasil sumber alam negeri ini tidak kembali kepada rakyat negeri ini. Hasil sumber alam negeri ini dibelanjakan di tempat lain.  Inilah masanya untuk mengembalikan hak kita, mengembalikan maruah kita. Siapa pemimpin yang kita harap selain pemimpin negeri ini sendiri?  Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa rakyat: berjuang untuk rakyat dan memimpin untuk rakyat!

INI KALILAH!!!





Sabah Tanah Airku?!


Pada cuti sekolah hujung tahun lepas, saya berkunjung ke medan selera di Tanjung Aru dengan harapan dapat menikmati makanan tempatan. Pada saya, medan selera di situ cukup luas dan selesa. Ramai orang berkunjung ke situ. Terdapat juga pelancong-pelancong asing sedang menikmati makanan. Saya dan isteri bersama dua orang teman dari Kajang mengambil keputusan untuk makan di situ. Saya bangga kerana dapat membawa teman-teman menikmati makanan/masakan Sabah. Saya sempat berbangga dengan budaya Sabah yang berbilang kaum namun dapat hidup dengan harmoni. Sabah terkenal dengan harga makanan laut yang murah.  

Lalu saya meninjau gerai-gerai yang ada di situ. Mula-mula saya mencari gerai orang KDM, saya tidak jumpa. Lalu saya fikir tentu ada gerai orang Cina, Bajau atau Iranun. Sekurang-kurangnya dapat menikmati makanan asli Sabah.  Malangnya, tiada satu pun gerai milik orang tempatan di situ (atau mungkin mereka tutup pada hari itu?!). Saya kecewa. Lalu saya kembali ke meja tempat kami duduk dan memberitahu teman-teman saya yang tidak ada makanan atau masakan tempatan di situ. Kerana lapar, kami mengambil keputusan untuk makan apa yang ada. Saya membelek-belek menu, harga ikan kerapu RM5.00 /100gram. ertinya sekilo RM50.00.  Kami memesan beberapa jenis lauk dan sayur.  Makanan itu disediakan begitu 'simple'. Teman-teman saya tidak dapat menikmati makanan yang serba 'kurang' itu. Di muka mereka tercoret kekecewaan. Saya cuma tunduk malu. Saya tidak lagi menyentuh tentang budaya Sabah, makanan yang murah atau pun keindahan Sabah.  Saya bangun dan membayar harga makanan. Semua sekali RM180.00!!! O, my God! Harga makanan di Restoran Sungai Jelok, Kajang tidak semahal itu. Salah tempat mangkali kami tu.

Peristiwa ini membuat saya tertanya-tanya, ke mana perginya peniaga-peniaga tempatan? Pada saya, Tanjung Aru adalah pintu gerbang yang sepatutnya menggambarkan identiti Sabah. Saya terasa asing di negeri sendiri. Saya terasa tempat perniagaan yang paling strategik telah dirampas oleh orang asing (ataukah orang kita malas dan tidak pandai berusaha?). Saya terasa diperas oleh peniaga-peniaga di situ.  Makanan laut di Sabah sepatutnya murah, tetapi harga makanan di situ tidak dipantau oleh pihak berkuasa (atau memang begitukah di Sabah?).  Seorang teman mengatakan, mungkin mereka (peniaga) melihat kami seperti orang kaya, lalu mereka meletakkan harga yang bukan-bukan.  Pada saya, ini bukan soal kaya atau miskin, ini soal mereka mengaut keuntungan dan hasil titik peluh orang lain tanpa batasan etika. Pada saya, Tanjung Aru tidak menggambarkan apa-apa tentang budaya ataupun identiti orang Sabah.  Tapi, mungkin orang Sabah sudah 'lali' dengan keadaan ini, sehingga mereka tidak terfikir (ataukah tidak berdaya?!) untuk melakukan perubahan.

Saya teringat satu slogan yang terpapar pada 't-shirt' seorang jejaka 'INI KALILAH!' Saya fikir, orang Sabah patut memikirkan satu permulaan untuk berubah. Suatu perubahan yang dapat memperkasakan orang tempatan.  Tetapi jika kita menunggu dan menunggu, masa (perubahan) itu tidak akan sampai kerana kuasa bukan lagi di tangan kita. Kita akan menjadi asing di negeri sendiri.