Pada cuti sekolah hujung tahun lepas, saya berkunjung ke medan selera di Tanjung Aru dengan harapan dapat menikmati makanan tempatan. Pada saya, medan selera di situ cukup luas dan selesa. Ramai orang berkunjung ke situ. Terdapat juga pelancong-pelancong asing sedang menikmati makanan. Saya dan isteri bersama dua orang teman dari Kajang mengambil keputusan untuk makan di situ. Saya bangga kerana dapat membawa teman-teman menikmati makanan/masakan Sabah. Saya sempat berbangga dengan budaya Sabah yang berbilang kaum namun dapat hidup dengan harmoni. Sabah terkenal dengan harga makanan laut yang murah.
Lalu saya meninjau gerai-gerai yang ada di situ. Mula-mula saya mencari gerai orang KDM, saya tidak jumpa. Lalu saya fikir tentu ada gerai orang Cina, Bajau atau Iranun. Sekurang-kurangnya dapat menikmati makanan asli Sabah. Malangnya, tiada satu pun gerai milik orang tempatan di situ (atau mungkin mereka tutup pada hari itu?!). Saya kecewa. Lalu saya kembali ke meja tempat kami duduk dan memberitahu teman-teman saya yang tidak ada makanan atau masakan tempatan di situ. Kerana lapar, kami mengambil keputusan untuk makan apa yang ada. Saya membelek-belek menu, harga ikan kerapu RM5.00 /100gram. ertinya sekilo RM50.00. Kami memesan beberapa jenis lauk dan sayur. Makanan itu disediakan begitu 'simple'. Teman-teman saya tidak dapat menikmati makanan yang serba 'kurang' itu. Di muka mereka tercoret kekecewaan. Saya cuma tunduk malu. Saya tidak lagi menyentuh tentang budaya Sabah, makanan yang murah atau pun keindahan Sabah. Saya bangun dan membayar harga makanan. Semua sekali RM180.00!!! O, my God! Harga makanan di Restoran Sungai Jelok, Kajang tidak semahal itu. Salah tempat mangkali kami tu.
Peristiwa ini membuat saya tertanya-tanya, ke mana perginya peniaga-peniaga tempatan? Pada saya, Tanjung Aru adalah pintu gerbang yang sepatutnya menggambarkan identiti Sabah. Saya terasa asing di negeri sendiri. Saya terasa tempat perniagaan yang paling strategik telah dirampas oleh orang asing (ataukah orang kita malas dan tidak pandai berusaha?). Saya terasa diperas oleh peniaga-peniaga di situ. Makanan laut di Sabah sepatutnya murah, tetapi harga makanan di situ tidak dipantau oleh pihak berkuasa (atau memang begitukah di Sabah?). Seorang teman mengatakan, mungkin mereka (peniaga) melihat kami seperti orang kaya, lalu mereka meletakkan harga yang bukan-bukan. Pada saya, ini bukan soal kaya atau miskin, ini soal mereka mengaut keuntungan dan hasil titik peluh orang lain tanpa batasan etika. Pada saya, Tanjung Aru tidak menggambarkan apa-apa tentang budaya ataupun identiti orang Sabah. Tapi, mungkin orang Sabah sudah 'lali' dengan keadaan ini, sehingga mereka tidak terfikir (ataukah tidak berdaya?!) untuk melakukan perubahan.
Saya teringat satu slogan yang terpapar pada 't-shirt' seorang jejaka 'INI KALILAH!' Saya fikir, orang Sabah patut memikirkan satu permulaan untuk berubah. Suatu perubahan yang dapat memperkasakan orang tempatan. Tetapi jika kita menunggu dan menunggu, masa (perubahan) itu tidak akan sampai kerana kuasa bukan lagi di tangan kita. Kita akan menjadi asing di negeri sendiri.