Pada zaman dahulu kala, ada tiga orang raja memerintah di tiga buah negara berasingan. Negara yang pertama terletak di utara, di panggil Negara Utara, negara kedua terletak di selatan, dipanggil Negara Selatan, manakala negara ketiga terletak di barat, dipanggil Negara Barat. Ketiga-tiga negara itu hidup dengan harmoni dan saling menolong antara satu dengan yang lain. Pada suatu ketika, Negara Utara dan Negara Selatan mengalami kebuluran kerana kemarau yang panjang. Negara Barat pula masih dapat bertahan kerana mempunyai simpanan makanan yang banyak. Memandangkan kemarau berterusan, maka semua simpanan beras di Negara Utara dan Negara Selatan habis sehingga benih-benih padi pun habis dimakan. Tanah sawah kering kontang. Raja Negara Utara (Raja Utara) dan raja Negara Selatan (Raja Selatan) terpaksa meminta pertolongan raja Negara Barat (Raja Barat).
Maka dipendekkan cerita, kedua-dua raja tersebut berangkat menghadap Raja Barat. Setelah Raja Barat mengetahui Raja Utara dan Raja Selatan datang menghadap untuk meminta pertolongan, maka Raja Barat mula berfikir, "Alangkah baiknya kalau kedua-dua negara itu menjadi milik beta," kata Raja Barat dalam hati. Maka, Raja Barat bertanya kepada kedua-dua raja tersebut, "Apakah tujuan adinda berdua datang menghadap kanda?" Jawap kedua-dua raja itu, "Negara kami mengalami kebuluran, oleh itu adinda berdua datang untuk meminta pertolongan kanda."
"Baiklah," kata Raja Barat. "Kalau demikian, kanda dengan berbesar hati membantu negara adinda berdua. Mulai sekarang, Negara Utara dan Negara Selatan tidak perlu bekerja lagi. Negara Barat akan menyediakan 100,000 guni beras setahun untuk setiap negara sehinggalah bencana ini berakhir." Kedua-dua raja Utara dan Selatan begitu gembira atas kemurahan Raja Barat. "Oleh sebab tanah-tanah sawah di negara adinda berdua tidak lagi berguna, maka berikan saja tanah-tanah itu kepada kanda. Biarlah kanda menanggung rugi. Sebagai ganti, kanda akan menambah 50,000 guni beras setahun kepada negara adinda berdua sampai bila-bila." Raja Utara melompat gembira. "Tuanku Raja memang baik, Tuanku Raja memang bijaksana!" Raja Utara sudah tidak sabar-sabar lagi menyampaikan berita baik ini kepada rakyat jelata.
Raja Utara mula menghitung-hitung, "100,000 guni beras lebih dari cukup untuk seluruh Negara Utara setiap tahun. Jadi, Negara Utara masih mempunyai simpanan beras 50,000 guni. Rakyat jelata Negara Utara tidak perlu bekerja lagi." Tetapi Raja Selatan tertunduk sedih tanpa berkata apa-apa.
Lalu kata Raja Barat, "Bagaimana keputusan adinda berdua?" Raja Utara lantas menjawap, "Saya setuju!" Lalu Raja Barat memberikan 150,000 guni beras kepada Raja Utara. Kegembiraan Raja Utara tidak terkata. Lalu Raja Barat memandang Raja Selatan, "Bagaimana dengan adinda?" Raja Selatan memandang tepat ke arah Raja Barat.
Dengan suara sayu Raja Selatan berkata, "Kanda Raja Barat, biarlah tanah-tanah sawah yang tidak berguna itu kami simpan. Lagipun, jika diberikan kepada kanda pun tanah-tanah itu tetap tidak berguna kepada kanda. Dinda hanya memohon bantuan 50,000 guni beras setahun untuk rakyat jelata Negara Selatan, dan biarlah 50,000 guni lagi dalam bentuk benih padi yang diberi sekali sahaja." Raja Barat terkejut mendengar jawapan Raja Selatan. Raja Utara pula tersengih mendengar kata-kata Raja Selatan. "Bodoh betul Raja Selatan," katanya dalam hati.
Dipendekkan cerita, Raja Barat berbuat seperti yang diminta oleh kedua-dua raja tersebut. Raja Utara membawa pulang 150,000 guni beras manakala Raja Selatan membawa pulang 50,000 guni beras dan 50,000 guni benih padi. Maka, Negara Utara menerima bantuan beras 150,000 guni beras setahun sehinggalah kemarau itu berakhir, manakala Negara Selatan menerima hanya 50,000 guni beras setahun. Rakyat jelata Negara Utara sehat-sehat belaka kerana cukup makan, manakala rakyat jelata Negara Selatan kurus kering kerana hanya dapat makan sekali sehari.
Setelah sekian lama, maka musim kemarau pun berlalu. Bantuan beras oleh Raja Barat pun diberhentikan. Tetapi memandangkan Raja Utara besetuju menukarkan tanah-tanah sawah dengan beras 50,000 guni setahun maka, Negara Utara tetap menerima 50,000 guni beras daripada Raja Barat. Manakala, Negara Selatan sudah tidak menerima apa-apa lagi bantuan. Tetapi Negara Selatan masih mempunyai 50,000 guni benih padi, lalu mereka mula mengerjakan sawah. Tanaman mereka begitu subur sehingga mereka dapat menuai 200,000 guni semusim. Akhirnya, Negara Selatan menjadi makmur dan sejahtera.
Lain pula ceritanya di Negara Utara. Oleh sebab mereka hanya mendapat 50,000 guni beras setahun dari Raja Barat (beras simpanan pula sudah habis digunakan), maka rakyat jelata di negara tersebut menjadi kurus kering kerana terpaksa makan hanya sekali sehari. Mereka sudah kehilangan hak pemilikan ke atas sawah-sawah mereka, mereka tidak lagi dapat bercucuk tanam. Jadi kekallah Negara Utara menjadi negara termiskin di rantau itu. Ramai rakyatnya berhijrah ke Negara Selatan dan Barat untuk mencari nafkah.
Moral cerita ini ialah: Buatlah keputusan yang bijak untuk masa depan.
Unity Is Duty