Monday, 9 July 2012

Politik: Suatu Perniagaan


Dalam bukunya yang bertajuk 'Keberanian Menggapai Harapan' (The Audacity of Hope (2006)), Barack Obama ada menyentuh tentang pertembungan nilai yang dihadapi oleh ahli-ahli politik (khususnya ahli-ahli politik muda) yang ingin menguasai kerusi Dewan Senat Amerika. Di satu pihak, kemenangan dalam pilihan raya menjanjikan habuan dan peluang yang besar dalam penguasaan ekonomi. Pihak-pihak yang berkepentingan menjadikan ahli-ahli politik sebagai proksi mereka dalam kerajaan untuk memenuhi hasrat dan mencapai sasaran mereka dalam perniagaan. Bahkan sering kali digunakan sebagai senjata untuk mengalahkan pesaing. Ahli-ahli politik pula tidak dapat menolak kerana golongan ini menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi (KDNK) negara. Di pihak lain, masyarakat umum yang berjuang untuk mencari nafkah sehari-hari, mengharapkan perwakilan yang dipilih dapat melaksanakan misi menangani masalah rakyat, memperbaiki sistem penyampaian, dan menggubal dasar-dasar yang dapat memberi kesaksamaan kepada semua golongan masyarakat. Mereka mengharapkan ahli-ahli politik dapat menangani ketidakpuasan hati golongan tertentu, dan mengetengahkan gagasan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

Apabila politik dicemari oleh ketamakan, maka terjadilah satu lingkaran jahat, di mana parti-parti politik bersaing untuk memperolehi majoriti dalam pilihan raya semata-mata untuk mendapatkan peluang menguasai ekonomi dan jentera kerajaan dalam hal menggubal undang-undang dan membuat keputusan yang berpihak kepada mereka. Ahli-ahli politik melalui proksi-proksinya cuba memaksimakan pemilikan hartanah dan meluaskan penguasaan ekonomi dalam bidang-bidang tertentu. Dengan kedudukan mereka sebagai pembuat dasar dan dengan jaringan kenalan yang lebih luas, sudah tentu dapat memberi kelebihan untuk mendapat 'bahagian' yang lebih baik. Peluang seperti ini tidak selalu ada, dan mungkin akan berakhir dalam masa tiga hingga lima tahun. Oleh itu, kesempatan ini harus digunakan sepenuhnya tanpa memperdulikan risiko dan tanggapan umum. Ahli-ahli politik tidak selalunya bertindak sedemikian hanya untuk diri mereka sendiri. Adakalanya, mereka melakukan demikian untuk orang yang terdekat, untuk suatu kelompok kecil yang dapat memberi faedah secara langsung kepada mereka.

Hal ini tentunya menjengkelkan masyarakat. Ungkapan 'membela rakyat' hanya menjadi permainan kata-kata untuk mendapatkan sokongan, padahal jauh dalam hati mereka ingin merebut peluang untuk mendapat giliran mengaut keuntungan.  Seseorang ahli politik yang sering berubah prinsip perjuangan dan pendirian, jelas menunjukkan terdapat agenda pribadi yang tersembunyi. Keadaan ini menyebabkan pengundi-pengundi menjadi ragu apakah seseorang ahli politik itu sungguh-sungguh berjuang untuk rakyat. Namun semua ini akan terjawap melalui track record perjuangan sesebuah parti politik atau ahli politik. Parti politik dan wakil rakyat yang mempunyai track record yang buruk biasanya akan tersingkir dalam pilihan raya seterusnya (Ini tidak selalunya benar kerana kemenangan dalam pilihan raya bergantung  kepada banyak faktor termasuk strategi politik, usaha melobi dan penipuan dalam pilihanraya).

Kesan daripada tindakan ini menyebabkan pengundi-pengundi terasa teraniaya dan tertipu. Mereka menjadi sangsi dengan kemunculan parti-parti baru yang belum mempunyai track record.  Namun seseorang ahli politik yang sudah membuktikan diri dalam membela rakyat melalui perjuangan yang konsisten dan pengorbanan yang tidak mementingkan diri, biasanya mendapat perhatian dan sokongan rakyat. Masyarakat harus membezakan antara ahli politik yang selalu bertukar parti dengan ahli politik yang selalu bertukar prinsip perjuangan. Pada saya, seseorang boleh bertukar parti (sekiranya parti tersebut tidak mampu memikul perjuangan yang dibawa oleh seseorang ahli politik), tetapi prinsip perjuangan harus konsisten dan melampaui kepentingan diri.  Seseorang ahli politik yang mempunyai prinsip perjuangan yang kental harus disanjung. Aung San Suu Kyi dan Nelson Mandela telah membuktikan kepada dunia bahawa tiada batasan bagi seorang pejuang. Keselesaan dan kekayaan pribadi bukanlah tujuan akhir perjuangan mereka. Mereka berjuang untuk rakyat, mereka berjuang supaya rakyat mendapat keadilan dan kesaksamaan.  Mereka berjuang untuk perubahan. Kesetiaan kepada perjuangan, kejujuran dalam perjuangan, dan keikhlasan dalam memperjuangkan hak-hak rakyat membawa harapan kepada masyarakat.

UNITY IS DUTY