Monday, 9 July 2012

'Tukar Baju?!!'


Beberapa minggu yang lalu, saya sempat bersama teman-teman mengunjungi beberapa tempat di Sabah. Ramai orang memperkatakan 'tukar baju'.  Mula-mula saya fikir, ini suatu gurauan. Tetapi, di mana-mana orang (khususnya orang tempatan) dengan penuh emosi tanpa berfikir panjang, dengan nada marah mengatakan "kita tukar baju kali ini".  Kadang-kadang saya tersengih mendengar pidato kedai kopi yang begitu berapi-api mengatakan "kita mesti tawan Putrajaya dulu barulah kita dapat mengurus negeri kita".  Saya cuba menduga apa yang sebenarnya membuat mereka begitu beria-ia untuk menukar kerajaan. Apakah yang membuat mereka begitu beria-ia mau menawan Putrajaya? Adakah mereka sudah bosan dengan kerajaan sekarang?  Atau semata-mata mereka hanyut dalam permainan politik semasa?  Lalu saya bertanya, apa masalah sebenarnya dengan kerajaan sekarang? Adakah kerajaan tidak baik?

Antara alasan mereka mau 'menukar baju' adalah kerana keadaan jalan raya yang tidak berturap khususnya di kampung-kampung, jalan-jalan utama tidak diselenggera dengan baik, walau pun berbilion ringgit telah diperuntukkan untuk memperbaiki infrastruktur di Sabah.  Selain itu, peluang pekerjaan di Sabah sangat terhad dan orang tempatan tidak diberi keutamaan untuk mengisi jawatan-jawatan tertentu dalam perkhidmatan awam.  Ada juga yang mengeluh tentang kenaikan harga barang, tetapi gaji minimun lebih rendah di Sabah berbanding di Semenanjung, masalah bekalan air, bekalan elektrik dan talian telefon serta kemudahan 'broadband' masih tidak dapat disediakan di kebanyakan tempat. Di samping itu, pembangunan di Sabah amat perlahan, taraf hidup orang-orang kampung hampir sama seperti 30 tahun yang lalu. Tanah-tanah orang asal dirampas oleh syarikat-syarikat gergasi.  Tanah-tanah orang kampung diambil oleh kerajaan atas nama pembangunan dan konservasi, tetapi akhirnya diberikan kepada pihak ketiga. Inilah realiti kehidupan masyarakat Sabah, khususnya mereka yang tidak berpeluang menikmati 'faedah' kepesatan pembangunan Sabah. (Tetapi yang anehnya, pandangan ini dikongsi oleh sebahagian besar masyarakat Sabah, bukan hanya segelintir orang!)
                                              Gambar hiasan

Golongan ini berpendapat bahawa, dengan menukar kerajaan daripada BN ke PR dapat menyelesaikan masalah ini.  Mereka seolah-olah yakin bahawa kerajaan PR nanti dapat menurap jalan-jalan kampung, menyelenggara jalan-jalan utama, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di Sabah, memberi keutamaan kepada orang tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam, menurunkan harga barang, mengembalikan tanah-tanah yang telah di'rampas' dan sebagainya.

Lalu saya bertanya, dapatkah PR mengubah nasib kita? Adakah PR akan lebih baik daripada BN? Mereka tidak pasti. Ada yang menyampuk di hujung sana, "Sekurang-kurangnya kita menunjukkan kuasa rakyat!" Peserta 'ceramah kedai kopi' yang lain sepi membisu. Kesepian yang mencengkam kalbu. Kesepian yang menggambarkan masa depan Sabah yang suram. Jika generasi ini membisu, apa agaknya yang terjadi kepada generasi akan datang? Pada saya, lebih baik menangis daripada membisu. Mengharapkan orang lain mengubah nasib kita bererti menyerahkan nasib kita di tangan orang lain.

Pada saya, pembangunan infrastruktur, peningkatan ekonomi isi rumah dan kemajuan negeri ini tidak jauh lebih penting daripada maruah kita.  Kita harus mempertahankan maruah kita sebagai penduduk asal negeri ini sama seperti kita menginginkan pembangunan dan kemajuan.  Setiap orang yang mengaku sebagai orang Sabah harus bersama-sama mempertahankan maruah negeri ini. Kita kehilangan pemimpin ketika negeri ini masih muda.  Pemimpin kita ditipu orang, pemimpin kita diperbodohkan, pemimpin kita masuk 'poket' orang, hasil kita masuk 'poket' orang lain, duit kita diambil orang, negeri kita diratah, orang lain mengaut keuntungan dari hasil bumi kita yang kaya ini.  Adakah semua ini tidak diambilkira dalam percaturan politik? Atau tidak kesahkah kita jika pemimpin-pemimpin kita diperkotak-katikkan oleh pihak lain? Atau masihkah kita mempertahankan gelaran bahawa orang Sabah mudah dibeli, bahawa pemimpin-pemimpin Sabah gila kuasa dan gila wang?  Atau sudah cukupkah bagi kita asalkan kita mendapat projek atau sedikit 'habuan' maka kita kata, 'tidak apalah'? Jika demikian, kita berpolitik kerana 'perut'.  Perjuangan kita hanya sampai di perut. Di mana maruah kita?

Jangan hanya 'tukar baju', tetapi mari 'tukar dasar', 'tukar polisi', 'tukar cara pengagihan peruntukan yang tidak adil', 'tukar pemimpin yang korup', 'tukar pemimpin haloba', 'tukar pemimpin Pak Turut', barulah kita dapat berdiri sebagai bangsa yang bermaruah, barulah kita dapat menunjukkan 'Kuasa Rakyat'.  Mari 'tukar paradigma', tukar landskap politik di negeri ini.  Negeri ini dipegang oleh pelobi-pelobi politik yang menguasai sebahagian besar ekonomi Sabah. Pemimpin-pemimpin kita tidak dapat berbuat apa-apa, mereka tidak berdaya kerana tanpa pelobi-pelobi ini, pemimpin-pemimpin kita tidak kekal pada kedudukan mereka sekarang.  Kita tidak kesah untuk berkongsi kekayaan negeri ini dengan seluruh rakyat Malaysia, tetapi kita menuntut pembahagian peruntukan yang lebih layak dan adil berdasarkan keluasan dan jumlah pendapatan hasil bumi negeri ini. Bahkan, kita menuntut pendapatan hasil minyak negeri ini dibahagi sama rata antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Persekutuan. Kita tidak mau peruntukan yang dikhususkan untuk Sabah diratah oleh 'orang tengah'. Jika tidak demikian, jalan raya berturap tidak akan sampai ke tangga rumah kita.

Sabah dilaporkan sebagai negeri yang termiskin di Malaysia (Bank Dunia 2010).  Bagaimana mungkin negeri yang kaya-raya dengan sumber alam menjadi negeri yang termiskin di Malaysia?  Ini menunjukkan bahawa hasil sumber alam negeri ini tidak kembali kepada rakyat negeri ini. Hasil sumber alam negeri ini dibelanjakan di tempat lain.  Inilah masanya untuk mengembalikan hak kita, mengembalikan maruah kita. Siapa pemimpin yang kita harap selain pemimpin negeri ini sendiri?  Kita memerlukan pemimpin yang berjiwa rakyat: berjuang untuk rakyat dan memimpin untuk rakyat!

INI KALILAH!!!