Minggu lepas menyaksikan dua wakil rakyat (MP) meninggalkan parti masing-masing dan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kehadiran di kedua-dua majlis yang berasingan itu agak memberangsangkan menunjukkan rakyat Sabah sangat dahagakan perubahan. Setiap kata-kata yang diucapkan oleh pemimpin disambut dengan sorakan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada para hadirin. Masing-masing wakil rakyat menunjukkan ketokohan dalam berpidato mempertahankan tindakan yang mereka ambil.
Di Tuaran, DSP Wilfred Bumburing banyak memperkatakan masalah PTI dan sikap kerajaan BN yang tidak prihatin dan berdolak dali. Manakala di Beaufort DSP Lajim Ukin memperkatakan tentang kegagalan kerajaan BN mentadbir dan memajukan Sabah dari segi infrastruktur. Saya tabik keberanian mereka setakat ini. Namun keikhlasan kedua-dua MP ini dalam memperjuangkan hak-hak Sabah hanya akan terbukti melalui komitmen jangka panjang. Masih ramai orang yang mengambil sikap tunggu dan lihat. Malah ada pihak yang mencadangkan supaya kedua-dua MP ini di'rehat'kan dalam pilihan raya ke-13, untuk mengelak berlakunya fenomena 'Trojan Horse'.
Dalam sekelip mata kedua-dua MP ini telah menjadi hero rakyat Sabah. Bahkan ada bloggers yang menyanjung tinggi pengorbanan mereka menggadaikan maruah dan kedudukan serta jawatan dalam kerajaan. Mereka dengan lantang memperjuangkan seakan-akan 'Agenda Borneo' yang diperjuangkan oleh Dr. Jeffrey. Bezanya, mereka begitu mudah mendapat sokongan ramai. Sedangkan Dr. Jeffrey yang telah berjuang berpuluh tahun (bahkan pernah masuk ISA kerana perjuangan tersebut), harus bekerja keras meyakinkan rakyat. Itu pun beliau tidak pernah mendapat gelaran hero rakyat Sabah, malah beliau digelar 'Raja Katak'.
Tetapi yang mencuri perhatian saya ialah sikap hormat dan penerimaan yang tidak berbelah bahagi kedua-dua MP berkenaan serta penyokong masing-masing terhadap DS Anwar Ibrahim. DSAI dianggap sebagai satu-satunya harapan yang akan membawa perubahan untuk Sabah. DSAI seperti biasa menunjukkan ketokohannya berpidato. Memang sejak dulu saya kagum dengan cara DSAI berpidato. Pada saya beliau seorang pemidato yang ulung.
Dalam ucapan DSAI di Beaufort, saya tergamam seketika apabila beliau mengakui bahawa beliau adalah salah seorang yang bertanggungjawap terhadap berlakunya sistem penggiliran Ketua Menteri di Sabah. Sejak dahulu, saya secara pribadi tidak bersetuju sama sekali dengan sistem tersebut. Sistem tersebut telah menjatuhkan maruah orang Sabah (walaupun mungkin ada segelintir pemimpin politik masih menginginkan sistem tersebut diteruskan). Namun, pengakuan tersebut telah menyejukkan (?) hati rakyat Sabah (khususnya yang hadir pada majlis tersebut). Pengakuan itu disambut dengan gelak ketawa, seolah-olah perkara itu sudah tidak relevan lagi. Pada saya, sambutan dan sorakan hadirin pada majlis berkenaan seolah-olah memberi indikasi bahawa rakyat Sabah sudah memaafkan DSAI.
Rakyat Sabah dapat memaafkan DSAI yang bertanggungjawap ke atas keruntuhan pemerintahan PBS, tetapi rakyat Sabah tidak dapat memaafkan Dr. Jeffrey kerana meninggalkan PBS. Rakyat Sabah dapat memaafkan DSAI yang bertanggungjawap ke atas penggiliran Ketua Menteri Sabah, tetapi rakyat Sabah tidak dapat memaafkan Dr. Jeffrey kerana masuk dari satu parti ke parti yang lain. Jika rakyat Sabah boleh memberi peluang kedua kepada DSAI untuk memimpin, tidakkah wajar Dr. Jeffrey juga diberi peluang yang sama untuk memimpin? Saya tertanya-tanya apakah yang membezakan kedua-dua pemimpin tersebut. Apakah faktor penentu penerimaan orang terhadap seseorang? Adakah kerana DSAI lebih unggul daripada Dr. Jeffrey? Atau kerana DSAI orang Malaya sedangkan Dr. Jeffrey orang Sabah? Atau DSAI lebih 'bersih' daripada Dr. Jeffrey?
DSAI dalam ucapannya di Tuaran, mengatakan bahawa Sabah harus dipimpin oleh orang Sabah kerana hanya orang Sabah yang tahu kehendak orang Sabah. Saya setuju, tetapi siapa di kalangan pemimpin Sabah yang layak memimpin Sabah? Siapa pemimpin Sabah yang dapat memimpin Sabah supaya terlepas daripada telunjuk Kuala Lumpur? Siapa pemimpin Sabah yang dapat mengembalikan hak-hak Sabah? Siapa pemimpin Sabah yang dapat menuntut supaya 20 perkara seperti yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Malaysia dihormati oleh Kerajaan Persekutuan? Selagi Sabah di bawah telunjuk Kuala Lumpur, selagi Sabah menjadi negeri ke-13 dalam Malaysia, selagi itulah Sabah tetap sama seperti yang dulu! Siapa pun yang berkuasa sama ada BN atau PR, kita tetap menari mengikut irama Malaya. Sampai bila kita harus menari mengikut rentak mereka? Kita orang Sabah, harus menari menurut irama Sabah. Sabah tidak pernah 'masuk' Malaysia. Sabah bersama-sama dengan Malaya dan Sarawak (serta Singapura: tetapi keluar dari Malaysia selepas itu) membentuk Negara Malaysia.
Pada saya, Sabah hanya akan melihat fajar harapan sekiranya rakyat Sabah bersatu di bawah satu panji sebagai suatu bangsa yang bermaruah, berdiri bersama-sama menuntut hak-hak negeri ini yang telah sekian lama diinjak orang. Pemimpin Sabah tidak harus tunduk di bawah kepemimpinan Malaya. Pemimpin Malaya, pemimpin Sabah dan pemimpin Sarawak harus bersama-sama memimpin Negara Malaysia. Pemimpin Sabah harus duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemimpin Malaya dan Sarawak. Jika tidak, Sabah akan tetap menjadi negeri ke-13 dalam Malaysia!
INI KALILAH!